Rabu, 6 Mei 2009

Gedung sehenti fesyen terkini


Kemeja berlengan pendek beropol di dada ditambah seri dengan penggayaan beg tangan warna garang.


SEGALANYA di sini... itu yang boleh diperkatakan mengenai Gedung Al-Habshee milik Syed Hashim Syed Ali Al-Habshee.

Butik pakaian yang baru dua bulan dibuka ini mempunyai segala yang diingini oleh pelanggan. Daripada baju wanita, baju lelaki, pelbagai gaya tudung, kain ela, aksesori, beg tangan dan banyak lagi..

Bertemu dengan pemiliknya, banyak perancangan yang dibuat bagi menjadikan butik ini sebagai sebuah kedai yang memenuhi cita rasa setiap pelanggan.

Dengan kata lain, pelanggan yang masuk ke kedai ini boleh mendapatkan apa sahaja yang diingini tanpa perlu pergi ke kedai lain.

Lebih mudah jika sekeluarga yang datang, semuanya boleh mendapatkan barangan yang dikehendaki di satu tempat.

''Gedung Al-Habshee boleh dikatakan sebagai impian yang menjadi kenyataan. Sudah lama saya ingin memiliki kedai sendiri setelah mencari pengalaman berniaga dari dalam kereta,'' kata Syed Hashim tatkala ditemui di Bandar Baru Bangi, baru-baru ini.

Tambahnya, Gedung Al-Habshee menyediakan pakaian daripada golongan remaja, muda dan golongan wanita matang. Apa yang istimewa, wanita yang memiliki saiz yang besar turut berpeluang bergaya dengan fesyen yang bersesuaian kerana di sini terdapat saiz sehingga 5XL.

Banyak lagi yang akan menyusul seperti pakaian kanak-kanak, barangan untuk pengantin dan kosmetik.

''Bagi memudahkan pelanggan, saya sedia membantu menyesuai padan pakaian yang dibeli dengan seluar, tudung, aksesori, beg tangan dan sebagainya pada harga yang mampu untuk setiap orang.

''Ini kerana terdapat pelanggan yang baru belajar hendak bergaya namun bimbang tidak sesuai atau nampak janggal,'' jelas anak kelahiran Muar, Johor ini.

Menurut Syed Hashim lagi, walaupun Gedung Al-Habshee masih baru, pelanggan yang datang bukan hanya dari sekitar Bangi malah ada yang datang dari Kajang, Semenyih dan Port Dickson.

Untuk itu, bagi keselesaan pelanggan, beliau akan menyediakan sebuah kafe kecil di hadapan kedainya.

''Sementara suami atau anak-anak menunggu isteri atau ibu mereka membeli-belah, mereka boleh duduk berehat di kafe sambil minum kopi atau membaca suratkhabar,'' tambahnya yang turut dibantu oleh kakaknya, Sharifah Salamah Al-Habshee.

Katanya, bagi pelanggan yang tidak berkesempatan untuk datang ke kedainya, beliau bersedia ke rumah pelanggan dengan membawa barangan yang dikehendaki.